Site hosted by Angelfire.com: Build your free website today!

 
 


                  

        

                                         

                    Oleh kerana erti, ciri dan punca kemiskinan lazim berkisar di sekitar hal-ehwal material seperti daya pengeluaran, pendapatan dan keperluan asas dan non-material luaran manusia seperti hak dan aksesibiliti, maka kaedah mengatasinya juga tertumpu kepada hal yang sama. Seperti di negara-negara lain, hal ini juga terserlah di Malaysia.

                    Di dalam usaha mengatasi kemiskinan luarbandar misalnya, Malaysia menekankan kepada pertamanya, peningkatan daya pengeluaran aktiviti-aktiviti nelayan dan petani agar hasil pengeluaran mereka bertambah; kedua, pengurangan pengangguran di kalangan kaum belia di luarbandar dengan meningkatkan peluang pekerjaan, misalnya dengan mengadakan rancangan-rancangan tanah yang baru atau rancangan pemulihan tanah terbiar; ketiga, memajukan sektor pertanian dengan pendekatan bersepadu agar ekonomi desa dapat memasuki sektor perindustrian khususnya perindustrian desa; dan keempat, meninggikan mutu hidup penduduk luarbandar dengan memberi kemudahan-kemudahan asas seperti bekalan, air, elektrik, perkhidmatan kesihatan dan pelajaran (Musa Hitam 1983/1984:7-8).

                    Usaha-usaha begini menjadi lebih jitu apabila Dasar Ekonomi Baru dilancarkan. Ada tiga strategi pembasmian kemiskinan yang diperkenalkan di dalam Dasar Ekonomi Baru ini. Pertama, menambahkan pendapatan melalui penggunaan teknologi moden agar meningkat produktiviti kumpulan sasaran. Ini dilakukan melalui peranan aktif agensi-agensi kerajaan, mengemaskini perkhidmatan dan memperluaskan liputan infrastruktur asas di kawasan luar bandar. Kedua, menambahkan peluang-peluang pekerjaan dengan menukar lapangan kegiatan. Ia melibatkan langkah memajukan tanah yang baharu seperti rancangan FELDA, perusahaan, perkhidmatan, peluang-pelaung dalam bidang pelajaran dan pertanian moden. Ketiga, memperbanyakkan peluang-peluang pekerjaan itu sendiri melalui pengawalan dan pertambahan bilangan penduduk dan perubahan dalam susunan ekonomi dengan memperluaskan bidang periindustrian, khususnya dengan menggalakkan penglibatan pelaburan asing.

                        Trend yang sama juga menjadi kepercayaan organisasi-organisasi masyarakat, institusi-institusi akademik dan kebanyakan individu di Malaysia. Pergerakan Pemuda UMNO misalnya, setelah mendapati strategi Dasar Ekonomi Baru menghadapi jalan buntu apabila berlakunya kegawatan ekonomi dalam pertengahan lapan-puluhan, mencadangkan agar kemiskinan diatasi melalui kaedah-kaedah berikut: Pertama, pemantapan peranan dan pelaksanaan badan-badan institusi kerajaan agar dapat menyelaras pelaksanaan dasar, mengawal penyelewengan dan rasuah, pembaziran, tindih menindih projek dan penyelewengan subsidi dan konflik kepentingan. Kedua, penyusunan semula dan pembangunan rancangan tanah ala Felda, dengan mengkaji semula dasar, penyusunan semula program dan projek agar produktiviti bertambah dan memberi peluang baru kepada rakyat. Ketiga, mengatasi pengangguran dan meningkatkan peluang pekerjaan. Keempat, memajukan perindustrian negara terutamanya industri berasaskan pertanian (agro-based) dan pembuatan dan industri berat. Kelima, memaju dan membangunkan kawasan bandar untuk mengatasi masalah setinggan dan menghalang mereka dari bertambah dan merebak. Keenam, meneruskan strategi Dasar Ekonomi Baru dalam penyusunan semula masyarakat untuk membasmi kemiskinan. Ketujuh, meneruskan dasar luar yang berkecuali agar perhubungan antarabangsa dapat dijalin dengan baik (Biro Kemiskinan Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia 1987).

                          Selain itu, institusi akademik, misalnya Institut Pertanian Malaysia pula mengesyorkan beberapa kaedah mengatasi kemiskinan seperti berikut: (a) reformasi tanah dan pengagihan harta; (b) peningkatan penyelarasan penyaluran faktor pengeluaran (seperti pengeluaran teknologi, perkhidmatan pengembangan, kemudahan kredit, pengurusan dan pemasaran); (c) insentif kewangan dan pencukaian; (d) pengubahan sikap kepimpinan di semua peringkat, dari kepimpinan politik, pegawai kerajaan, dan pemimpin tempatan; (e) peluang pendidikan dengan menilai semula sistem penempatan anak-anak miskin yang berpotensi ke sekolah-sekolah yang mempunyai kemudahan lengkap; (f) pembentukan model baru pembangunan yang lengkap dan menyeluruh (holistic model) di mana perancangan memerlukan pertimbangan faktor seperti mobilisasi modal, tenaga buruh dan mengubah kuasa pemilikan sebahagian besar sumber pengeluaran; (g) sistem pertanian bercorak perniagaan; (h) pembinaan bandar-bandar baru; (i) dan penubuhan Pusat Pengajian Kemiskinan untuk menyelaras segala usaha mengkaji masalah kemiskinan dan membentuk pendekatan-pendekatan pembasmian kemiskinan yang dilaksanakan oleh institusi-institusi yang ada (Institut Pertanian Malaysia 1983/1984:136-137)

                           Secara individu pula ada yang berpendapat bahawa pembasmian kemiskinan memerlukan pembentukan dan penginstitusionalisasian satu mekanisme sosio-ekonomi yang bergerak sendiri (self-generating) supaya kemiskinan dapat ditangani bila ia timbul dari semasa ke semasa. Dalam hal ini, ada enam komponen yang dicadangkan (Mohd Nor Ghani 1977:224-225):
 

  1. mengenalpasti kumpulan sasaran utama berdasarkan kepada taraf hidup minima atau tahap pendapatan yang dirasakan sesuai untuk negara;
  2. ukuran jurang yang wujud antara taraf minima dan pendapatan semasa dan taraf hidup yang didapati oleh kumpulan sasaran utama;
  3. penilaian tentang keperluan asas kumpulan sasaran dalam bentuk makanan, pakaian dan tempat tinggal dan pembentukan langkah-langkah anti-kemiskinan yang berkesan;
  4. mengenalpasti perubahan asas dalam bentuk faktor-faktor alam sekitar dan institusi yang diperlukan untuk menggalak (motivate) orang miskin dan mewujudkan komitmen dan partisipasi penuh dari mereka di dalam program-program yang dilancarkan;
  5. mengadakan sumber-sumber, kemudahan dan perkhidmatan  yang diperlukan untuk merangsang golongan miskin ke dalam kerja aktif dan produktif dengan hubungan dan jalan yang betul untuk berinteraksi dengan masyarakat yang lebih besar; dan
  6. membentuk instrumen-instrumen dasar yang diperlukan untuk membawa perubahan yang sepatutnya di peringkat ekonomi, sosio-budaya, psikologi dan pentadbiran.


                                Sebenarnya, di tengah-tengah tumpuan kepada hal-ehwal material dan non-material luaran manusia ini, ada juga pihak-pihak tertentu yang mula sedar bahawa tindakan-tindakan meninggikan pengeluaran, memperbanyakkan peluang-peluang pekerjaan dan meningkatkan pendapatan orang miskin sebenarnya tidak cukup untuk mengatasi masalah kemiskinan. Ini semua, kata mereka, hanya membawa kesan lahiriah sahaja. Bagi mereka, tindakan lebih tepat ialah dengan menggunakan satu pendekatan yang menitikberatkan manusia (human oriented approach), yang merangkumi nilai-nilai keadilan, kesamarataan dan kepimpinan yang baik dan jujur untuk melahirkan sebuah masyarakat yang beretika dan progresif, dan menguatkuasakan perubahan struktur dalam ekonomi (Aliran 1980:15). Walaubagaimana pun, penghuraian mendalam tentang hal ini tidak dilakukan dan kaedah bagaimana ini semua boleh dicapai tidak dikemukakan secara jelas dan sistematik, malah hampir tidak ada langsung.

                                 Secara umum, bolehlah dikatakan bahawa usaha mengatasi kemiskinan secara lazim setakat ini telah dilaksanakan melalui tiga tahap pendekatan. Pendekatan pertama dipanggil sebagai pendekatan sektoral; pendekatan kedua sebagai pendekatan berorientasikan kumpulan; dan pendekatan ketiga sebagai pendekatan individu (Syed Othman Al-Habshi 1996).

                                 Pendekatan sektoral umumnya dipakai oleh kebanyakan negara sedang membangun dalam tahun 50-an dan 60-an. Sektor-sektor yang mundur dikenalpasti dan disalurkan pelbagai program pembangunan terutamanya dalam bentuk pembinaan prasarana seperti jalanraya, jambatan, empangan, sekolah, rumah sakit dan klinik, pusat masyarakat, pembangunan pertanian dan tanah, reformasi tanah dan sebagainya. Hal ini dilakukan berdasarkan kepada dua rasional: pertama, pembayar cukai mengagihkan semula pendapatan mereka melalui dana awam yang kemudian menyalurkannya terus kepada rakyat miskin; dan kedua, teori kesan merebak ke bawah (trickle-down effects) diharap dapat akhirnya dimanfaatkan oleh orang-orang miskin. Melalui pendekatan ini, keadaan umum sektor luarbandar telah diubah dengan cepat di samping bertambah baiknya assesibiliti kepada komunikasi, keadaan kehidupan dan kemudahan awam terutamanya pendidikan dan kesihatan. Tetapi ia juga mempunyai kelemahan. Orang-orang miskin tidak benar-benar dapat menikmati faedah pembangunan dalam masa singkat kerana kesan merebak ke bawah tidak berlaku. Yang jelasnya, mereka yang mendapat manfaat ialah sektor itu sendiri dan mereka yang terlibat dalam proses pembangunan yang sebenar. Orang-orang miskin hanya mendapat manfaat dalam jangka masa yang sangat panjang (Syed Othman Alhabshi 1996).

                                   Pendekatan berorientasikan kumpulan pula merupakan satu pendekatan yang mengenalpasti dan mendokumenkan secara jelas kumpulan orang-orang miskin dan profil mereka dari segi pendapatan isi rumah, saiz isirumah, pekerjaan, dan tahap pendidikan. Mereka dibahagikan mengikut wilayah, lokasi dan disusun mengikut tahap pendapatan purata. Pelbagai projek yang sesuai untuk setiap golongan dirancang dan dilaksanakan untuk kebaikan mereka. Pendekatan ini mampu menyediakan keperluan orang-orang miskin mengikut kumpulan ekonomi masing-masing dan oleh itu sesuai untuk menyelesaikan masalah berkumpulan. Namun begitu, penyelesaian secara berkumpulan tidak mencukupi untuk memenuhi keperluan individu isirumah. Kumpulan miskin ini biasanya tidaklah sama (homogenous) dari segi tahap pendapatan dan sifat-sifat lain. Program yang dituju kepada kumpulan miskin boleh jadi sesuai dengan sesetengah dari mereka tetapi tidak sesuai untuk sesetengah yang lain (Syed Othman Alhabshi 1996).

                                   Pendekatan individu pula mengecilkan unit ekonomi kepada isirumah. Pendekatan ini mengenalpasti setiap isirumah miskin di setiap lokasi. Apabila profil mereka dikumpul dan dianalisa, terutamanya dari segi pendapatan, pendidikan, pekerjaan, kemahiran, keperluan dan sebagainya, projek-projek khusus yang secara langsung boleh memenuhi keperluan isirumah berkenaan dilaksanakan. Pendekatan ini mempunyai dua kebaikan yang jelas: pertama, orang-orang miskin mendapat manfaat secara langsung; dan kedua, ia boleh bermula dengan isirumah yang paling memerlukan pertolongan. Pada tanggapan sesetengah penulis, kebaikan kedua ini adalah suci dan berbentuk apolitical kerana dalam kebanyakan kes, adalah lebih menguntungkan sama ada dari segi ekonomi atau politik, untuk membantu mereka yang mempunyai pendapatan yang lebih hampir dengan garis kemiskinan. Perbelanjaan yang diperlukan untuk menolong mereka ini jauh lebih sedikit dari yang diperlukan untuk membantu kesemua mereka yang miskin. Tetapi seperti juga pendekatan-pendekatan lain, pendekatan individu ini juga tidak terlepas dari kelemahan. Antara kelemahannya terdapat dalam menentukan siapakah yang patut mendapat faedah itu dalam amalan sebenarnya. Kritik paling utama terhadap pendekatan ini ialah sama ada bantuan yang disalurkan berorientasikan kebajikan atau pembangunan. Kalau ianya untuk penggunaan, ianya masih berorientasikan kebajikan. Sebaliknya ia menjadi penyelesaian jangkapanjang kemiskinan yang lebih baik kiranya ia bersifat pembangunan (Syed Othman Alhabshi 1996)