|
|

Masalah kemiskinan
sebenarnya bukanlah satu masalah baru. Kajian tentang kemiskinan telah
dibuat sejak tahun 1800-an lagi. Antara yang terawal dan penting ialah
yang telah dibuat oleh Rowntree (1901). Berdasarkan kepada kajian yang
dijalankannya ke atas keluarga-keluarga di York, England dalam than 1899,
belie berpendapat bahawa mereka yang tergolong dalam kemiskinan utama
ialah keluarga-keluarga yang jumlah pendapatannya tidak cukup untuk
mendapatkan keperluan minima untuk mengekalkan kecekapan fizikal.
Beberapa lama kemudian, Townsend (1979), berdasarkan kepada kajiannya ke
atas sumber isirumah dan taraf hidup di United Kingdom, tidak bersetuju
dengan definisi ini. Belie memberikan definisi kemiskinan sebagai "kekurangan
sumber yang diperlukan untuk membolehkan seseorang berpartisipasi di dalam
aktiviti-aktiviti, adat dan pemakanan yang biasanya diterima masyarakat".
Sumber itu tidak terhad hanya kepada pendapatan tunai (yang diusaha, tidak
diusahakan dan keselamatan sosial). Ia juga merangkumi aset modal (rumah/flat
yang diduduki dan dimiliki keluarga dan aset-aset lain selain dari rumah
yang diduduki), nilai manfaat pekerjaan (subsidi dan nilai insuran
pekerjaan, kemudahan pekerjaan), nilai perkhidmatan sosial awam (terutamanya
selain dari wang tunai, termasuk subsidi dan perkhidmatan kerajaan seperti
kesihatan dan pendidikan, tetapi tidak termasuk keselamatan sosial), dan
pendapatan persendirian dalam bentuk barangan (pengeluaran di rumah,
hadiah dan nilai perkhidmatan sokongan peribadi) (Townsend 1979:88-89).
Di Malaysia, perbincangan pertama tentang kemiskinan telah dilakukan dalam
than 1923 oleh Za'ba (1923). Belie menarik perhatian kepada keadaan
kemiskinan orang Melayu, tetapi tidak mendefinisikan konsep dan pengukur
kemiskinan. Yang merasakan perlunya definisi, pengukur dan mencari
sebab-sebab kemiskinan ialah Ungku Abdul Aziz (1964; 1965), yang menulis
lebih kurang 40 than selepas Za'ba. Ungku Abdul Aziz (1964) mengemukakan
tiga sebab utama kemiskinan di kalangan orang Melayu, iaitu pengabaian
pemerintah, daya pengeluaran yang rendah dan eksploitasi.
Sebenarnya adalah tidak mudah mendefinisikan konsep kemiskinan. Ada dua
sebab utama kenapa hal ini berlaku. Pertama, definisi kemiskinan
berbeza-beza mengikut disiplin. Dan kedua, ia berbeza-beza mengikut ruang
geografi, masyarakat dan masa. Oleh kerana dua sebab ini, tidak ada satu
takrif kemiskinan yang standard yang boleh diterima oleh semua orang atau
oleh semua negara pada setiap masa. Dalam kes perbezaan ruang geografi,
masyarakat dan masa misalnya, kemiskinan terpaksa dirujuk kepada
ketidakcukupan keperluan asas yang berbeza-beza dari individu ke individu
dalam masyarakat yang sama dan dari masyarakat ke masyarakat yang lain
serta dari semasa ke semasa.
Dalam kes perbezaan disiplin pula, masing-masing mempunyai dimensi
definisi yang juga tidak sama. Ahli ekonomi atau neo-ekonomis
mendefinisikan kemiskinan daripada perspektif jumlah pendapatan, ahli
ekonomi politik daripada perspektif struktural dan akses, ahli sosiologi
daripada perspektif stratifikasi sosial, ahli psiko-sosial daripada
perspektif keperibadian dan sikap, manakala ahli perubatan daripada
perspektif zat atau kalori makanan (Mohd Nor Ghani 1977:217; Kamal Salih
1983/1984:29; Mohd Taib Dora 2000:14).
Selain itu, ahli sejarah dan perbandingan kemiskinan mendefinisikan
kemiskinan melalui satu garisan (continuum) kemahuan (want)
bermula dari kebuluran, saradiri (subsistence), social coping dan
akhir sekali partisipasi sosial (George and Howards 1991:2-11). Ahli teori
alam sekitar pula mendefinisikan kemiskinan dari perspektif keadaan
sekitar. Bagi mereka, keadaan sekitar yang mundur tidak membantu
melahirkan inisiatif dan peluang untuk memperbaiki keadaan seseorang
kecuali mereka yang berani berhijrah keluar dari kawasan tersebut.
Pemikiran yang dikenali sebagai teori alam sekitar (environmental
theory) ini berhubungan pula dengan konsep kebudayaan kemiskinan (culture
of poverty) yang diperkenalkan Lewis (1966). Mengikut Lewis (1966),
kemiskinan mewakili satu cara hidup yang dicirikan oleh kekurangan
partisipasi dan integrasi dengan masyarakat yang lebih besar. Ia hanya
terhad kepada berdepan dengan masalah semasa dalam mencari sumber hidup,
organisasi sukarela yang minima, keupayaan yang sedikit dalam menangguhkan
kegembiraan untuk masa depan, fatalisme, rasa terasing yang kuat, putus
asa, atau rasa kebergantungan, rendah diri dan sebagainya. Di samping itu,
ada juga penulis yang melihat kemiskinan dari pendekatan saradiri atau
pendekatan biologikal (yang menggangap seseorang itu miskin apabila tidak
mempunyai cukup keperluan untuk mempertahankan kecekapan fizikal); dari
pendekatan ketidaksamaan (yang melihat kemiskinan sebagai berhubungan
dengan wujudnya ketidaksamaan di dalam masyarakat); dan dari pendekatan
luaran (externality) yang melihat natijah sosial kemiskinan ke atas
masyarakat selebihnya (Rein 1970).
Di tengah-tengah kepelbagaian definisi dan perspektif kemiskinan ini, ada
dua perkara yang kebanyakan mereka bersetuju. Pertama ialah bahawa
kemiskinan itu berkait rapat dengan sindrom `kekurangan' (Sen 1981:22),
dan kedua, ia berkait rapat dengan `ketidakupayaan' atau `ketidakmampuan'.
Dalam kes yang pertama, kekurangan-kekurangan itu umpamanya ialah
kekurangan makanan, taraf kesihatan yang rendah, pendapatan yang rendah,
pengangguran, keadaan perumahan yang tidak selamat, taraf pendidikan yang
rendah, tidak menikmati keperluan moden, pekerjaan yang tidak terjamin,
sikap hidup yang negatif dan fikiran yang kolot (Osman Rani Hassan dan
Abdul Majid Salleh 1988:30-31; Chamhuri Siwar 1988b; Jamilah Ariffin
1994:3). Di samping itu ada juga yang mengkategorikan
kekurangan-kekurangan berkenaan ke dalam tiga bahagian. Pertama,
kekurangan keupayaan pendapatan; kedua, kekurangan akses kepada
kuasa-kuasa sosial seperti kuasa-suara, kuasa-politik, milikan punca-punca
keluaran, pendidikan dan sebagainya; dan ketiga, kekurangan keperluan asas
seperti perlindungan, pemakanan, pendidikan asas, kesihatan, pekerjaan dan
sebagainya (Kamal Salih 1983/1984:28).
Dalam mendefinisikan kemiskinan dari sudut kekurangan ini, ada dua
pendekatan yang sering digunakan, yakni pertama, perspektif ekonomi dan
kedua, perspektif sains sosial. Dari perspektif ekonomi
kekurangan-kekurangan tersebut dikaitkan dengan jumlah pendapatan yang
diperoleh sama ada secara mutlak atau pun relatif. Kemiskinan mutlak
diukur dengan garis kemiskinan manakala kemiskinan relatif diukur dengan
membandingkan taraf agihan pendapatan dalam masyarakat keseluruhannya.
Dari perspektif sains sosial pula, kekurangan dikaitkan dengan
stratifikasi sosial masyarakat kerana golongan miskin adalah golongan yang
kekurangan dari segi kelas, status dan kuasa dalam hiraki masyarakat.
Kedua-dua pendekatan ini mempunyai penekanan dan penghuraian yang berbeza,
tetapi saling berkait dan lengkap melengkapi (Mohd Taib Dora 2000:14).
Masalah kekurangan ini sebenarnya adalah berbentuk relatif. Ia bergantung
kepada masa, keadaan dan tahap sosio-ekonomi masyarakat, geografi (tempat)
dan sebagainya sebagaimana yang telah disebutkan sebelum ini. Di
negara-negara sedang membangun misalnya, kemiskinan lebih cenderung kepada
kekurangan mutlak, umpamanya kebuluran, kelaparan, kekurangan zat makanan,
pengangguran, pengemisan dan kekurangan keperluan asas. Di negara maju
pula, kemiskinan merujuk kepada kekurangan relatif, yakni golongan yang
tidak mampu atau tidak berupaya menampung kehidupan yang setaraf dengan
golongan lain yang mempunyai pendapatan yang lebih tinggi dalam masyarakat.
Dalam kes ketidakupayaan atau ketidakmampuan pula, kemiskinan dihubungkan
dengan ketidakupayaan untuk menikmati keperluan-keperluan asas yang
dianggap paling minima untuk hidup seperti keperluan makanan, perumahan,
pakaian, perkhidmatan-perkhidmatan pelajaran, kesihatan, kebajikan dan
kemudahan-kemudahan sosial yang lain (INTAN 1980). Ketidakupayaan ini juga
berkait rapat dengan kurangnya pendapatan mereka. Dalam hal ini,
pendapatan dijadikan pengukur kemiskinan dengan menggunakan konsep garis (atau
paras) kemiskinan. Garis kemiskinan ini diukur dengan menggunakan
pendapatan yang dikira boleh menampung taraf hidup minima seseorang atau
sesuatu keluarga. Pendekatan yang dipakai dalam mengukur taraf kehidupan
minima ini ialah pendekatan keperluan asas yang mengambilkira semua
keperluan ekonomi (seperti makanan, pakaian, tempat tinggal dan sebagainya),
keperluan sosial dan politik malah keperluan budaya sekali pun.
Sesetengahnya mengukur garis kemiskinan ini dengan menggunakan pertamanya,
pendekatan profesional atau pakar (dengan mengambil pendapat profesional
atau pakar-pakar ini dalam menentukan kuantiti dan kualiti keperluan untuk
orang miskin); kedua, pendekatan kepenggunaan atau perbelanjaan (dengan
melihat bagaimana orang-orang ramai menggunakan pendapatan mereka); dan
ketiga, pendekatan pendapat awam atau persetujuan sosial (social
consensus) (dengan mendefinisi dan mengukur kemiskinan berdasarkan
kepada pandangan orang ramai) (Piachaud 1987; George and Howards
1991:11-20).
Dari huraian di atas ternampak bahawa sebenarnya, sama ada kemiskinan yang
dilihat dari perspektif kekurangan atau dari perspektif ketidakupayaan,
kedua-duanya memakai angkubah-angkubah yang tidak banyak berbeza. Ia
berkisar kepada kekurangan dan ketidakupayaan memiliki pendapatan,
keperluan asas, akses kepada kuasa sosial dan sikap positif dari
perspektif pembangunan, Kedua-duanya pula secara umumnya bersetuju
menggunakan dua pendekatan dalam mendefinisikan kemiskinan. Pertama ialah
pendekatan mutlak dan kedua ialah pendekatan relatif.
Antara kedua pendekatan ini, umumnya pendekatan mutlaklah yang paling
berpengaruh. Dalam pendekatan ini, definisi kemiskinan diukur melalui
tahap mutlak keperluan minima (absolute level of minimum needs)
seseorang atau sesuatu isirumah. Mereka yang hidup di bawah tahap mutlak
keperluan minima ini dianggap sebagai hidup di dalam keadaan miskin. Dalam
kes ini, tahap hidup minima dipastikan dalam bentuk tahap pemakanan,
pakaian dan sebagainya, dan pendapatan untuk memenuhi ini diambilkira
semuanya. Kemiskinan mutlak dikatakan berlaku apabila seseorang atau
segolongan ahli masyarakat mempunyai pendapatan yang tidak mencukupi untuk
memenuhi keperluan asas mereka (Anand 1983:113; Syed Othman Alhabshi
2000). Ketetapan mutlak ini diukur dengan garis kemiskinan. Di Malaysia,
dalam tahun 2000, garis kemiskinan ialah sebanyak RM467 sebulan bagi isi
rumah yang mengandungi lima orang ahli keluarga. Sekiranya sesebuah isi
rumah mempunyai pendapatan separuh daripada paras kemiskinan mutlak ini,
ia dipanggil sebagai kemiskinan tegar (Utusan Malaysia, 9 Ogos
2000).
Namun begitu, konsepsi kemiskinan sebagai `mutlak' begini dikritik kerana
keperluan manusia, walau untuk makanan sekali pun, ditentukan oleh
masyarakat masing-masing yang berbeza-beza keperluannya dari semasa ke
semasa (Townsend 1979:38-39; 59-60). Selain dari itu, pendekatan ini juga
mengalami masalah besar dalam menetapkan apakah yang termasuk di dalam
keperluan asas minima itu. Sesetengahnya mengatakan makanan, pakaian dan
tempat tinggal. Yang lain memasukkan bukan hanya barangan dan perkhidmatan,
tetapi juga perkara-perkara bukan-material seperti hak sivil individu,
kebebasan dan lain-lain. Kalau pun perkara-perkara ini telah dikenalpasti,
jenis-jenisnya masih tetap boleh dipersoalkan lagi. Selain itu, garis
kemiskinan yang menjadi pengukur kepada miskin tidaknya seseorang itu juga
boleh berubah mengikut perubahan-perubahan tahap harga umum (general
price levels) (Syed Othman Alhabshi 1996).
Permasalahan ini membawa kepada lahirnya pendekatan relatif. Kemiskinan
dikatakan relatif wujud selagi ada ketidaksamaan di dalam pengagihan
pendapatan dan kekayaan (Syed Othman Alhabshi 2000). Pendekatan relatif
ini menginterpretasikan kemiskinan dalam hubungan taraf kehidupan
masyarakat semasa, dengan mengiktiraf dengan jelas keadaan
saling-kebergantungan antara garis kemiskinan dan pengagihan pendapatan
keseluruhannya (Anand 1983:113). Selagi wujud jurang pendapatan antara dua
individu atau dua kumpulan, yang mempunyai pendapatan yang lebih rendah
akan dianggap sebagai miskin manakala yang mempunyai pendapatan lebih
tinggi dianggap sebagai kaya. Dalam konteks ini, kemiskinan hanya boleh
dihapuskan sekiranya setiap orang atau kumpulan mempunyai pendapatan yang
sama. Seseorang yang secara relatifnya miskin boleh menikmati segala
kemewahan kehidupan sekiranya perbandingan dibuat di kalangan orang-orang
kaya. Begitu juga, seseorang yang kaya atau yang tidak miskin mungkin
tidak berupaya memenuhi keperluan asasnya (Syed Othman Alhabshi 1996).
|