| Pada bulan Jun 2002, genap dua tahun Universiti
beroperasi dan dalam tempoh itu beberapa perkembangan dan kemajuan telah dicapai
meliputi pelbagai aspek akademik dan bukan akademik. Perkembangan dan kemajuan
yang dicapai ini bersesuaian dan sehaluan dengan hasrat Universiti dalam
memartabatkan pendidikan Islam secara positif dan inovatif dalam perkembangan
negara yang mengutamakan penggunaan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT). Tahun 2002 ini juga merupakan tahun yang amat signifikan dalam sejarah KTNUUM. Pada tanggal 22 Ogos 2002, bertempat di Bandar Bayan Baru, Pulau Pinang, Upacara Pecah Tanah Kampus Tetap KTNUUM telah disempurnakan dalam suasana yang amat bermakna oleh YAB Perdana Menteri. Dengan perasmian tersebut, rasmilah sudah lokasi tetap sebuah Universiti Tenaga yang pertama ditubuhkan oleh Kerajaan Malaysia pada permulaan abad ke-21 ini. Sememangnya KTNUUM ditempatkan di suatu kawasan yang mempunyai nilai dan keunikannya yang tersendiri. Sehubungan dengan perasmian ini, adalah menjadi tanggungjawab semua warga KTNUUM menjalankan tugas dengan penuh amanah demi mencapai wawasannya dalam memartabatkan kecemerlangan ilmu dan insan yang mampu memberi sumbangan kepada masyarakat, negara dan dunia sejagat. Duli Yang Maha Mulia Tuanku Najihah binti Al-Marhum Tunku Besar Burhanuddin, Tuanku Ampuan Negeri Sembilan telah dilantik sebagai Canselor pertama Universiti ini. Istiadat penyerahan watikah perlantikan telah disempurnakan oleh Yang Berbahagia Tan Sri Dr. Mohd Yusof Noor, Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti pada 4 April 2002 di Istana Besar Seri Menanti, Negeri Sembilan. |
![]() |
Kemasukan pelajar baru pada tahun 2002 adalah seramai 486 orang. Ini menjadikan
jumlah pelajar yang berdaftar di KTNUUM adalah seramai 1287 orang yang terdiri
daripada 486 orang pelajar Tahun 1, 551 orang pelajar Tahun 2 dan 250 orang
pelajar Tahun 3. Pengambilan calon-calon pelajar bagi kursus-kursus yang
berkaitan/ Setaraf- Kategori A, Lepasan Diploma (Kes Khas) - Kategori E,
Matrikulasi- Kategori P dan pelajar lepasan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM)
kategori T.
Selaras dengan objektif KTNUUM untuk mempertingkatkan kualiti dan pengajian
berteraskan penyelidikan, Pusat Pengajian Siswazah(PPS) ditubuhkan pada
pertengahan 2002 bagi menguruskan program pengajian di peringkat Sarjana dan
Doktor Falsafah. Penubuhan pusat tersebut telah diluluskan oleh Kementerian
Pendidikan pada Julai 2002. KTNUUM telah menerima kemasukan beberapa orang
pelajar dari dalam dan luar negara, mereka mengikuti program ini di bawah
struktur program secara penyelidikan dan penyediaan tesis.
Bagi memantapkan pengajaran, pihak Universiti telah menyediakan prasarana dan
kemudahan di kampus sementaranya ini dengan menambah bilik tutorial, bilik
kuliah, makmal-makmal komputer, makmal bahasa dan sebuah Mahkamah Moot khas
untuk para pelajar Fakulti Syariah dan Kehakiman.
Bersesuaian dengan hasrat Universiti, bagi melahirkan graduan yang mampu
menguasai dan mempunyai kemahiran komunikasi dalam pelbagai bahasa khususnya
dalam bahasa Arab dan Inggeris, KTNUUM telah mengadakan Kursus Intensif Bahasa
Arab dan Bahasa Inggeris, Kelas Bimbingan Happy Hour bagi membantu meningkatkan
tahap penguasaan bahasa-bahasa tersebut.
Senat KTNUUM merupakan sebuah badan akademik tertinggi yang berperanan melulus
dan mengawal semua program dan urusan yang berkaitan dengan akademik . Bagi
tahun 2002, Senat telah meluluskan cadangan Penubuhan Pusat Pengajian Siswazah
dan Peraturan Program Pengajian Siswazah KTNUUM, cadangan Peraturan-peraturan
KTNUUM bagi Pengajian Sarjana Muda Pentadbiran Muamalat Dengan Kepujian serta
beberapa perkara berkaitan dengan Hal Ehwal Akademik.
Dalam aspek persidangan, permohonan daripada kakitangan akademik untuk menyertai
persidangan dalam dan luar negara, peringkat kebangsaan mahupun antarabangsa,
sama ada sebagai pembentang kertas kerja atau peserta telah meningkat berbanding
tahun sebelumnya.Di samping itu, KTNUUM telah berjaya menganjurkan Persidangan
Antarabangsa “Pengajian Islam Di Institusi-Institusi Pengajian Tinggi Dunia”
bertemakan “Pengajian Islam : Isu dan Cadaran di Era Globalisasi” yang telah
menghimpunkan wakil-wakil dari institusi-institusi pengajian tinggi dari dalam
dan luar negara yang membincangkan prospek dan cabaran Pengajian Islam di era
globalisasi.
Pihak Universiti melalui fakulti-fakulti juga aktif dalam menganjurkan
aktiviti-akitiviti persidangan peringkat universiti. Antara aktiviti persidangan
yang dianjurkan oleh pihak fakulti adalah berbentuk pembentangan kertas kerja,
forum , ceramah, wacana dan bengkel. Individu-individu yang pakar dalam bidang
tertentu juga dijemput bagi menjayakan program-program ini bagi pemantapan ahli
akademik KTNUUM.
Dalam usaha meningkatkan kecemerlangan universiti, pencapaian dalam penyelidikan
yang terfokus amat diperlukan. Penganjuran beberapa aktiviti bagi memenuhi
keperluan peningkatan dan pemantapan keupayaan penyelidik dalam bidang ini telah
dijalankan. Penyertaan dalam aktiviti-aktiviti yang dianjurkan telah dapat
memenuhi keperluan peningkatan dan pemantapan keupayaan penyelidik dalam bidang
tertentu. Seterusnya, memberi kesedaran kepada ahli akademik tentang kepentingan
sikap proaktif dan sentiasa merebut peluang kerana penyelidikan adalah salah
satu aset penting dalam penjanaan ilmu sesebuah universiti. Sehubungan itu,
pelbagai usaha telah dijalankan oleh pihak Universiti dalam membentuk kumpulan
akademik yang mantap. Justeru itu, pembentukan beberapa kumpulan penyelidik
telah dilaksanakan bagi memastikan hasil penyelidikan yang mantap. Begitu juga
dengan penggubalan perancangan penyelidikan dan tatacara pengurusan kewangan
yang membantu penyelarasan antara kumpulan-kumpulan penyelidik.
KTNUUM sentiasa memberi suasana kehidupan yang selesa bagi para pelajarnya
dengan menyediakan kemudahan asrama yang mencukupi iaitu di tempatkan di
Apartmen Riviera II dan Apartmen Riviera III berhampiran dengan kampus
pembelajaran. Di samping itu juga, pelbagai kegiatan kemahasiswaan juga telah
dijalankan sepanjang tahun 2002 sebagai usaha untuk menghasilkan masyarakat
mahasiswa dan mahasiswi yang progresif dan seimbang melalui pelbagai aktiviti
khidmat masyarakat, kem motivasi dan kem-kem akademik.
Bagi memantapkan bidang akademik, pengajaran dan pengurusan Universiti,
penambahan sumber tenaga amat diperlukan. Oleh itu, KTNUUM telah meningkatkan
usaha pengambilan kakitangan akademik, pengurusan dan tenaga sokongan. Sehingga
kini, jumlah keseluruhan kakitangan KTNUUM adalah seramai 227 orang dimana
daripada jumlah ini, 83 orang adalah tenaga akademik, 144 orang kakitangan
pentadbiran yang terdiri daripada kumpulan pengurusan dan profesional dan
kumpulan sokongan. Pemantapan ini juga dimantapkan lagi dengan perlantikan
Timbalan Rektor Hal Ehwal Pelajar dan Pembangunan bagi memantau hal-hal
berkenaan kegiatan Hal Ehwal Pelajar dan Pembangunan khususnya. Perlantikan
Profesor dan Profesor Madya juga dibuat bagi tujuan di atas.
Bagi menghargai warga Universiti yang telah menunjukkan komitmen yang jitu
terhadap Universiti, satu Majlis Anugerah Khas telah diadakan bertujuan untuk
mengiktiraf dan menghargai kakitangan yang telah menunjukkan prestasi kerja yang
cemerlang sepanjang tahun 2002. Seramai 25 orang kakitangan daripada pelbagai
Jabatan, Bahagian dan Unit telah menerima Sijil Anugerah Khas yang telah
disampaikan Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti. Bersempena dengan majlis ini
juga disampaikan cenderamata penghargaan kepada YB. Dato’ Mohd Zawawi Salleh,
ahli Lembaga Pengarah Universiti atas sumbangan besar beliau terhadap
perkembangan awal KTNUUM. Majlis ini juga menyaksikan pelancaran Manual Prosedur
Kerja serta Buku Panduan Staf KTNUUM buat julung kalinya. Penyediaan Manual
Prosedur Kerja dan Buku panduan staf ini bertujuan untuk memperkemaskan sistem
pengurusan dan pentadbiran serta memberi panduan tentang prosedur kerja dan
maklumat umum yang penting berkenaan Universiti dan pentadbiran.
Bagi memantapkan organisasi dan pengurusan KTNUUM, pihak Universiti telah
menghantar sebilangan kakitangannya menghadiri kursus-kursus anjuran organisasi
luar yang berkaitan dengan bidang kerja masing-masing.
Pembangunan kampus tetap KTNUUM bermula sejak tahun 2000 dengan penentuan tapak
kampus tetapnya. Selaras dengan misi Universiti yang bertekad menjadi sebuah
institusi ilmu yang terkehadapan dalam bidang pengajian Islam yang menggunakan
teknologi terkini bagi menyelesaikan isu-isu semasa yang berkaitan dengan
masyarakat dan Islam , KTNUUM telah mengambil tindakan untuk menyediakan Pelan
Induk ICT yang menelan belanja sebanyak RM 70 juta di kampus tetap kelak. Pada
peringkat permulaan ini, pihak Universiti telah mengaplikasikan penggunaan ICT
terkini dalam proses-proses kerja seharian bagi menjamin kualiti dan
keefisyenannya. Pihak Universiti telah menggunakan modul-modul terkini dalam
akademik,pentadbiran, perpustakaan dan kewangan.
Penyediaan sumber ilmu pengetahuan merupakan fungsi utama perpustakaan. Oleh
yang demikian, pengukuhan koleksi Perpustakaan melibatkan program-program di
KTNUUM telah dipertingkatkan yang terdiri daripada CD-ROM, Filem, kaset dan
lain-lain bahan multimedia. Selain itu, terdapat juga kemudahan capaian
pengkalan data atas talian.
Dalam usia yang semuda ini, KTNUUM telah mengorak langkah dalam memantapkan
dirinya sebagai sebuah IPTA yang ke –12 di negara ini yang berhasrat untuk
menjadi sebuah pusat pengajian yang terkehadapan dan mampu bersaing serta
mendapat pengiktirafan di peringkat negara dan antarabangsa.
PROF. DATO' DR ABDUL MALEK OMAR
Rektor
Kolej Tenaga Nasional ( UUM )