Site hosted by Angelfire.com: Build your free website today!

Makam Saidina Ali rosak dibedil tentera Amerika


NAJAF: Sebahagian daripada Makam Saidina Ali iaitu makam paling suci bagi puak Syiah rosak ketika pertempuran berlaku antara tentera Amerika dan pengikut setia ulama radikal Muqtada al-Sadr menyebabkan sekurang-kurangnya 13 orang terbunuh.
Selepas pertempuran di Najaf berhenti, penduduk berhimpun di Makam Saidina Ali untuk melihat kesan kerosakan. Pintu pagar ke makam berkenaan rosak terkena bedilan roket dan serpihannya bertaburan di perkarangannya.

SEORANG ulama Syiah lalu
dekat pintu masuk Makam
Saidina Ali yang rosak
terkena bedilan askar Amerika
di Najaf, semalam.


Televisyen al-Jazeera menunjukkan kain yang menutupi pintu masuk ke makam itu koyak dan dindingnya rosak.

Ia juga menunjukkan ramai orang yang cedera baring di lantai masjid dan sebahagian orang ramai yang marah menunjukkan penumbuk mereka.

Penyokong ulama Muqtada menuduh tentera Amerika melepaskan tembakan mortar ke arah masjid terbabit dan pemerintah tentera Amerika di Baghdad berkata mereka akan menyiasat laporan itu.

Pertempuran di Najaf dan bandar raya suci Syiah yang lain di selatan Baghdad menimbulkan kemarahan pengikut Syiah di seluruh dunia kerana mereka bimbang tempat suci mereka akan rosak.

Pegawai Amerika berkata mereka sangat berhati-hati untuk mengelak daripada merosakkan makam berkenaan dan menuduh Muqtada menggunakan tempat suci untuk menyimpan senjata dan pelindungan.

Muqtada melancarkan pemberontakan awal April selepas tentera Amerika bertindak terhadapnya termasuk menutup akhbarnya dan menahan pembantu utamanya serta mengeluarkan waran tangkap kepadanya atas tuduhan membunuh seorang rakan ulamanya pada April 2003.

Keganasan terbaru berlaku selepas Presiden Amerika George W Bush dalam ucapan di televisyen ke seluruh negara berkata 138,000 askar Amerika akan terus berada di Iraq sehingga negara itu menjadi demokratik dan pelan pembangunan kerajaan baru Iraq dibentangkan kepada Majlis Keselamatan PBB.

Penduduk menyifatkan pertempuran di Najaf sebagai antara yang paling sengit sejak bulan lalu dan saksi berkata beberapa letupan berlaku dekat dengan Makam Saidina Ali.

Letupan dan pertempuran juga berlaku sekitar Dataran Revolusi 1920 dan kawasan perkuburan.

Tujuh orang terbunuh dan lima lagi cedera di Najaf, kata Seyed Kifah Shemal, seorang pegawai Hospital Besar Hakim.

Dua orang terbunuh dan 14 yang lain cedera dalam pertempuran malam semalam di Kufa, kata Riyadh Kadhem, seorang jurucakap di Hospital Forat al-Awsat di Kufa.

Angka korban di kalangan penduduk Iraq mungkin lebih tinggi kerana anggota militia pro-Muqtada biasanya tidak menghantar mereka yang cedera ke hospital kerana bimbang ditahan tentera Amerika.

Tiada laporan mengenai kecederaan atau kemalangan jiwa di pihak tentera Amerika. AFP