Site hosted by Angelfire.com: Build your free website today!
GOLONGAN MUNAFIQ DAN FITNAH
Petikan dari Bahtera Penyelamat oleh Al-Ustaz Fathi Yakan

Orang-orang munafiq memang ada di mana-mana dan dalam zaman apapun sepanjang sejarah tidak sunyi dari kewujudan mereka.  Ini adalah kerana motif dan karenah kemunculan golongan ini memang ada dan mungkin wujud bila-bila masa.

Ada yang menjadi munafiq didorong oleh pertimbangan untuk merangkul kepentingan duniawi.  Kadang-kadang ia berselindung di sebalik taqwa dan agama untuk sampai kepada tujuannya.

Ada yang menjadi munafiq dengan tujuan mencetuskan krisis, melaga-laga dan memecahbelahkan barisan umat Islam.  Ada yang berbuat demikian kerana niat jahatnya sendiri.  Ada pula yang mendapat arahan daripada orang lain.  Mereka pun meresapi jama'ah muslimin untuk tujuan-tujuan tadi.  Terdapat juga golongan yang sifat munafiq telah mendarah daging dalam dirinya hingga hipokrit untuk berkuasa atau melepaskan diri dari penindasan penguasa.  Dengan sifat ini orang munafiq cuba merangkul habuan dunia yang fana, atau pangkat kebesaran yang tidak kekal.  Ia malah sanggup menjual agamanya dengan mendapat bayaran kesenangan dunia.  Kadang-kadang sifat ini ditimbulkan oleh rasa dendam, atau dengki atau kedua-duanya sekali.

Manusia munafiq mempunyai sifat-sifat dan perwatakan tertentu.  Rasulullah s.a.w. telah menerangkan ciri-ciri mereka supaya dikenali oleh para mukminin.  Dengan demikian mereka dapat menghindarkan diri daripada bahaya mereka.  Antara hadith Rasulullah s.a.w. yang berkaitan ialah sabda baginda:

"Ada tiga sifat; siapa yang memilikinya maka dia adalah munafiq walaupun dia berpuasa, solat, mengerjakan haji, melakukan umrah dan mengaku muslim.  Iaitu orang yang berdusta bila berkata, mungkir bila berjanji dan mengkhianati amanah."  (Riwayat Abu Ya'li)

Dalam riwayat Ahmad beliau menerangkan:

"Empat sifat; siapa yang bersifat dengannya maka dia adalah munafiq tulen.  Siapa yang ada salah satu daripada sifat ini maka dia mempunyai satu ciri daripada ciri munafiq sehingga dia membuangkannya.  Iaitu apabila dia berkata dia berdusta, apabila berjanji dia mungkir, apabila membuat janjisetia dia khianati, apabila bersengketa dia melampaui batas."

Peristiwa Siti 'Aishah r.ha. tertinggal daripada rombongan muslimin dan dibawa pulang oleh seorang sahabat Safwan bin Mu'attal yang membuat tinjauan akhir di kawasan persinggahan rombongan itu, telah menimbulkan fitnah besar di kalangan kaum muslimin.  Kesucian 'Aishah r.ha. dibela oleh Allah s.w.t. di dalam al-Qur'an.

Sekitar peristiwa ini, Sayyid Qutb dalam tafsir Fizilalil Qur'an menulis: "Sesiapapun mesti akan merasa aneh walaupun hingga kini, terhadap peristiwa ini.  Bagaimana sehingga berlaku dalam suatu kumpulan jama'ah muslimin boleh tersebar meluas berita buruk dan cerita dusta (fitnah perlakuan sumbang).  Berita ini pasti meninggalkan kesan yang berat dalam jama'ah, menimbulkan luka yang dalam, di dalam jiwa yang paling suci dan paling tinggi."

Sesungguhnya kemelut yang dihadapi oleh Rasulullah s.a.w. dan terutamanya yang diharungi oleh jama'ah muslimin dan Islam ketika itu adalah kemelut yang paling hebat yang pernah dihadapi oleh baginda di mana baginda dapat mengatasinya.  Baginda dapat terus melindungi kewibawaannya, membuktikan kelapangan dada dan kesabarannya.

(Nasib baiklah ketika itu Rasulullah s.a.w. telah menjadi pemerintah kepada kaum muslimin.  Andainya golongan kuffar menjadi pemerintah ada kemungkinan 'Aishah r.ha. dan Safwan r.a. ditahan dan dibicarakan.  Saksi-saksi yang kemungkinan terdiri daripada golongan-golongan munafiq akan dipanggil memberi keterangan.  Berbagai rentetan peristiwa akan timbul dan sudah pasti sebahagian besar adalah rekaan semata-mata.  Niat mereka hanyalah satu: untuk mengaibkan keluarga Rasulullah s.a.w. yang mulia dan dengan keaiban itu wibawa Rasulullah s.a.w. akan jatuh dan seruannya akan terus dipertikaikan! Maha suci Allah yang menentukan sirah perjuangan baginda! --- catatan tambahan Webmaster).

Fitnah yang mencemarkan nilai-nilai quddus yang dihormati dan menjadi asas kehidupan jama'ah Islamiyyah itu tersebar dari mulut ke mulut, dari satu lidah ke satu lidah tanpa usaha meneliti dan memastikan kebenarannya terlebih dahulu.  Kata-kata tersebut seolah-olah diterima mentah-mentah tanpa diserapkan oleh 'aqal dan dihalusi oleh hati dan seterusnya.

Sejarah telah membuktikan tentang bahaya golongan munafiq ini terhadap gerakan Islam dalam menimbulkan fitnah dan krisis.  Gerakan Islam tentu tidak akan menemui pukulan yang hebat.  Aktivis-aktivisnya tentu tidak tersiksa dengan parah oleh para penguasa yang zalim, kalaulah tidak kerana adanya segelintir golongan munafiq yang menjual diri dan maruah mereka kepada syaitan.  Atau kalaulah tidak kerana adanya pembelot yang didorong oleh rasa takut atau mudah dibeli.

Kadangkala mereka juga dicuba oleh perbuatan golongan munafiq yang mencemarkan nama baik, amanah, martabat, kejujuran, 'ilmu dan agama mereka.

Pendekkata golongan mukmin dihadapkan dengan pelbagai perbuatan yang menghakis kewibawaan; semata-mata untuk memuaskan dendam kesumat golongan munafiq tersebut.  Segala cubaan dan Ibtila' tersebut ialah supaya Allah s.w.t. dapat memastikan kelurusan suatu jama'ah dan para pendokongnya dan mengampunkan dosa-dosa mereka dan meningkatkan martabat mereka mengahdapi golongan munafiq tersebut.

"Jika kamu memperoleh kebaikan, nescaya mereka bersedih hati, tetapi jika kamu mendapat bencana, mereka bergembira kerananya.  Jika kamu bersabar dan bertaqwa, nescaya tipu daya mereka sedikitpun tidak mendatangkan kemudharatan kepadamu.  Sesungguhnya Allah mengetahui segala apa yang mereka kerjakan."
Surah Ali-'Imran: 120)
***